LONDON - Bekas ketua pasukan bola sepak Chelsea, Ray Wilkins kembali ke kelab itu sebagai penolong jurulatih Luiz Felipe Scolari, kelmarin.
Wilkins yang menyertai Chelsea sebagai perantis pada 1973 dan menjaringkan 34 gol dalam 198 penampilan, memenuhi kekosongan pada kelab Liga Perdana itu gara-gara pemergian Steve Clarke, Isnin lalu ke West Ham.
Wilkins, 51, berkata, dia 'berdebar' apabila ditawarkan jawatan itu sambil menambah, telah bergelut untuk kembali ke kejurulatihan sejak kehilangan jawatannya dengan skuad Bawah 21 England, tahun lalu.
"Bola sepak kini hampir seperti sebuah kedai yang telah ditutup. Jadi sesiapa yang sudah meninggalkan sukan ini agak mustahil untuk memasuki semula dan saya antaranya," katanya.
Chelsea kini menerajui Liga Perdana dengan perbezaan gol selepas empat perlawanan.
"Chelsea bermain seperti ada kebebasan dan benteng pertahanan mereka masih mantap. Ia begitu mengagumkan.
"Malah, kesenian Deco juga mirip (Gianfranco) Zola pada beberapa umpanan dan kreativitinya. Ia menarik perhatian saya.
"Frank (Lampard) kini kembali menjaringkan gol dan ia sama penting antara memperbaharui kontrak pemain sedia ada dengan membawa masuk pemain baru," ujarnya.
Bekas pemain tengah itu kembali ke Chelsea pada 1998, bekerja sebagai seorang jurulatih di bawah Gianluca Vialli selama dua tahun dengan kejayaan Blues memenangi Piala FA pada 1999.
Wilkins yang membuat 83 penampilan untuk England, hanya memenangi satu gelaran utama tempatan dalam karier pemainnya iaitu Piala FA 1983 dengan Manchester United yang disertainya dari Chelsea pada 1979.
Wilkins yang turut bermain seketika dengan AC Milan dan Paris St. Germain, memulakan karier singkat pengurusan pada 1994 di Queens Park Rangers. Dia menerajui Fulham pada 1997, tetapi cuma bertahan semusim.
Saturday, September 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment