Tuesday, September 23, 2008

Keputusan seri suntik semangat The Blues

LONDON - Luiz Felipe Scolari percaya semangat yang ditunjukkan oleh Chelsea menentang Manchester United, kelmarin penting dalam buruannya untuk merampas gelaran Liga Perdana England musim ini daripada genggaman anak didik Alex Ferguson.

Scolari mengakui Chelsea masih belum mencapai tahap persembahan terbaik pasukan itu di Stamford Bridge, kelmarin.

Namun begitu, pengurus Chelsea dari Brazil itu masih gembira dengan kecekalan anak buahnya pada perlawanan tersebut selepas memperoleh gol penyamaan pada minit ke-80 menerusi pemain gantian, Salomon Kalou.

United mendahului perlawanan menerusi jaringan Park Ji-Sung pada separuh masa pertama, setelah penjaga gol Chelsea, Petr Cech gagal menangkap kemas menyebabkan bola meleret ke arah pemain Korea Selatan itu.

Ji-Sung bijak menggunakan kesempatan yang diperoleh itu untuk menghasilkan gol untuk United.

Perlawanan, kelmarin itu turut menyaksikan Scolari mengalami sedikit kegelisahan apabila pemain pertahanan tengahnya, Ricardo Carvalho terpaksa dikeluarkan selepas 10 minit bermain.

Pengurus Chelsea itu masih tidak mengetahui berapa lamakah dia tidak dapat menggunakan khidmat tonggak pertahanan dari Portugal tersebut, serta pemain perancang baru Blues, Deco yang tidak dapat beraksi menentang United kerana mengalami kecederaan ketika menjalani sesi pemanas badan.

"Kehilangan Deco adalah satu berita yang begitu sukar untuk kami. Pergerakan kami daripada bahagian tengah ke bahagian serangan dilihat tidak bersedia pada 15 hingga 20 minit awal.

"Keadaan itu telah membolehkan pemain-pemain lawan berjaya memberi tekanan besar kepada kami pada tempoh tersebut dan menjaringkan gol," kata Scolari.

Meskipun mengakui United telah menghasilkan banyak peluang menjaringkan gol, Scolari juga percaya pasukannya turut mempunyai peluang terbaik menghasilkan jaringan apabila Joe Cole mensia-siakan dua peluang keemasan.

Selain itu, penyerang dari Perancis, Nicolas Anelka turut terlepas peluang menghasilkan gol setelah menerima hantaran silang dari sebelah kanan Jose Bosingwa.

"Saya berpuas hati dengan semua pemain kerana mereka telah memberi sepenuh hati ketika berada di atas padang. Mereka telah berusaha tetapi kadangkala ia tidak berjalan dengan baik.

"Jika kami mempunyai kualiti yang lebih pada penyudah akhir, kami berkemungkinan memenangi perlawanan ini. Pemain-pemain telah menunjukkan mereka mempunyai semangat yang menakjubkan.

"Seperti yang telah kami katakan sebelum ini bahawa Michael Ballack mungkin hanya boleh beraksi selama 45 minit sahaja. Namun, dia berjaya bertahan sehingga minit ke-70 dengan semangat yang tinggi untuk mencipta kemenangan.

"Begitu juga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh John Obi Mikel. Ia begitu menakjubkan. Dia berada di kanan dan kiri pasukan pada setiap masa untuk menguasai bola. Inilah semangat yang saya mahukan.

"Chelsea telah mempunyai semangat tersebut dan saya begitu gembira melihatnya berlaku dalam pasukan ini," ujar Scolari.

No comments: