Thursday, September 18, 2008

Banyak ketawa buat hati mati- bahagian 2

Perlu juga disedari, bahawa pada ketika hati itu sudah rosak, maka sesuatu yang akan binasa ialah maruah diri. Individu itu tidak mampu lagi memandu dan membela maruah hidupnya iaitu kehormatan diri kerana proses untuk memantap dan menghidupkan darjat diri sudah tidak berfungsi lagi.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya sudah berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.

Suatu ketika, Rasulullah berjalan di depan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu Baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa."
(Riwayat Bukhari dan Abu Hurairah).

Dalam hadis lain, Rasulullah mengingatkan kita banyak ketawa dengan
sabda Baginda yang bermaksud:

"Terlalu banyak ketawa itu boleh menghilangkan cahaya daripada wajah kita."

Ketawa yang sudah sampai ke tahap berlebihan, maka ia lebih mengundang perkara negatif daripada yang positif. Orang banyak ketawa akan lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Bukan itu saja, kadang-kadang,
banyak ketawa boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan
himpunan dosa yang menimbun dalam diri.

Apabila lupa kepada mati, manusia akan lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara. Orang banyak ketawa akan banyak membawa kepada kelalaian memikirkan tugasan dan amanah yang perlu dilaksanakan sebagai khalifah, ketua, ayah dan pemimpin dalam dunia.

Abdullah bin Abi Yu'la pernah berkata:

"Adakah kamu masih bergelak ketawa sedangkan kain kafanmu sudah pun dikeluarkan dari istana Allah."

Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik dilakukan sepanjang masa agar tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia. Ini kerana, ia adalah suatu dugaan daripada Allah kepada hambanya beriman. Di samping itu, kita digesa supaya menilai keperibadian sendiri pada setiap waktu agar dapat mengenal pasti setiap kelemahan dan kesalahan sama ada sengaja atau tidak.

Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri, dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan. Benarlah ada kata-kata yang menyebut bahawa orang yang banyak ketawa akan banyak menangis kemudian. Hal ini kerana, manusia celaka di dunia yang banyak ketawa bukan saja tidak akan mampu ketawa dalam azab Allah, bahkan tidak akan mempunyai masa untuk mengukir senyum.

Sebaliknya, akan dihiasi dengan jeritan dan tangisan yang menghibakan. Abdullah Ibn Abbas pernah berkata, sesiapa melakukan perbuatan dosa dan kemudian ketawa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka dengan tangisan.

Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana. Hal iIni kerana, kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta. Semoga kita akan sama-sama berusaha mengawal diri daripada menyebabkan hati mati kerana apabila ia berlaku. Maka akan hilanglah kenikmatan hidup untuk menjadi mukmin yang beriman kepada Allah.

RENUNG-RENUNGKAN, FIKIR-FIKIRKAN, HAYATILAH DAN SELAMAT BERAMAL

No comments: