LONDON - Pasangan pemain Chelsea dari Portugal, Ricardo Carvalho dan Deco akan terlepas beberapa perlawanan selepas ini gara-gara dibelenggu masalah kecederaan.
Pemain pertahanan, Carvalho akan berehat selama sebulan selepas mengalami kecederaan lutut ketika beraksi 11 minit dalam perlawanan Liga Perdana England menentang penyandang juara, Manchester United yang berkesudahan seri 1-1 di Stamford Bridge, Ahad lalu.
Perancang utama The Blues, Deco pula mengalami kecederaan ketika latihan pemanas badan sebelum perlawanan itu, terkoyak otot paha dan tidak boleh beraksi selama dua minggu.
''Imbasan telah menunjukkan Carvalho mengalami kecederaan ligamen di bahagian lututnya. Dia dijangka kembali beraksi dalam tiga atau empat minggu,'' kata kenyataan kelab itu, kelmarin.
Perlawanan pertama yang menyaksikan kedua-dua pemain tidak beraksi ialah pusingan ketiga Piala Liga menentang musuh dalam Liga Perdana England, Portsmouth.
Ketiadaan Deco akan ditampung dengan ketibaan pemain baru dari Brazil, Mineiro.
Pemain berusia 33 tahun itu akan membantu John Obi Mikel sementara Michael Essien sudah tidak boleh bermain selama enam bulan.
Walaupun Alex menunjukkan permainan baik ketika dimasukkan, Carvalho telah diberi kepercayaan mengemudi pertahanan Chelsea.
''Dia seorang pemain yang laju dan dapat menghidu apabila bola datang.
''Dia boleh membaca di mana itu akan pergi dan datang,'' kata jurulatih, Luiz Felipe Scolari mengenai Carvalho minggu lalu.
Bagaimanapun, bekas pertahanan Porto itu akan kembali menyarung jersi Chelsea selepas pelepasan antarabangsa, di mana perlawanan pertama akan menemukan Chelsea menentang Roma dalam Liga Juara-Juara Eropah atau pesaing merebut kejuaraan liga, Liverpool.
Wednesday, September 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment