PORTSMOUTH, England - Penyerang Chelsea Salomon Kalou mahu memberikan jurulatihnya Luiz Felipe Scolari kemenangan pertama dalam kempen Piala Liga menentang Portsmouth hari ini, selepas menyelamatkan mata The Blues daripada dirampas Machester United, Ahad lalu.
Scolari yang dalam usaha untuk mengekalkan rekod tanpa kalah Chelsea, akan berkunjung ke Fratton Park untuk perlawanan pusingan ketiga Piala Liga menentang juara Piala FA musim lalu.
Kalou pula sudah bersedia untuk diturunkan selepas tandukannya di minit-minit terakhir membolehkan Chelsea seri 1-1 dengan penyandang juara liga itu.
''Itu adalah gol pertama saya jadi saya berharap ia adalah permulaan untuk jaringan seterusnya dan ia memberikan keyakinan tinggi kepada saya.
''Ia satu perasaan indah apabila masuk dari bangku simpanan dan menjaringkan gol kerana ia adalah gol yang amat penting. Saya berharap mampu menjaringkan gol lagi di Portsmouth.
''Ia akan memberikan kami keyakinan berada di depan Manchester memandangkan mereka memenangi liga dengan kelebihan dua mata musim lalu,'' katanya.
Kalou merupakan serampang dua mata di bahagian serangan Chelsea bersama penyerang, Didier Drogba yang baru cergas daripada menjalani pembedahan lutut.
''Kami bertambah kuat sekarang dan semua orang bersaing untuk merebut tempat, kami cuba untuk menjadi lebih positif dalam pasukan dan ia sukar untuk berada dalam pasukan utama.
''Ia satu perkara yang sihat untuk Chelsea dan bagi kami kerana sekali anda bermain bersama pemain hebat, anda akan memberikan 200 peratus untuk melakukan yang terbaik di atas padang,'' ujarnya.
Pertahanan Portsmouth, Sylvain Distin mensasarkan untuk membawa pasukan Harry Redknapp menang buat pertama kali ke atas Chelsea selepas 50 tahun, sekali gus memadamkan kekalahan 6-0 ketika bertemu Manchester City.
''Ia satu keputusan yang teruk, pertahanan kami tidak bermain dengan baik dan begitu juga dengan posisi kami.
''Banyak kesilapan yang dilakukan dan itu yang menyebabkan kami bolos enam gol.
''Ia sebahagian dari tugas kami untuk memastikan kami melakukan perkara yang betul dan kami perlu lakukannya menentang Chelsea nanti.
''Ia terpulang kepada jurulatih sama ada kami melupakan perlawanan menentang City atau kami cuba untuk memperbaiki dan bekerja keras agar tidak melakukan perkara yang sama,'' kata Distin.
Redknapp akan melakukan banyak pertukaran ketika Portsmouth bermain dalam perlawanan keempat dalam 10 hari selepas minggu lepas mencatatkan kemenangan Piala UEFA ke atas Vitoria Gumaraes dan dua perlawanan liga.
Penyerang veteran, Kanu akan bermain dalam perlawanan pertamanya selepas kali terakhir memenangi Piala FA ke atas Cardiff Mei lalu. Pemain England David James dan Sol Campbell akan menjadi sebahagian dari pemain yang tidak diturunkan.
''Mungkin mereka terlalu letih untuk beraksi pada hari Sabtu, Khamis dan Ahad ini. Ia sudah melebihi kemampuan merekai kami perlu mencari prestasi dengan cepat,'' kata Redknapp.
Wednesday, September 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment