SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal tertentu. Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.
Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, maka syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan. Ini bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh bukan Islam.
Menyingkap sirah Rasulullah ketika Baginda hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah, Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk bersama-sama Rasulullah di medan peperangan, tetapi membatalkan janji dan persetujuan mereka pada saat-saat
genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.
Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman yang bermaksud :
"Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak."
(Surah at-Taubah, Ayat 82).
Jelas daripada mafhum ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik yang selalunya suka mengamalkan tabiat ketawa berlebihan. Justeru, jika begitulah sikap mereka, maka sebagai umat Islam, kita harus segera membuang sikap sedemikian.
Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi, tetapi Islam tetap menghadkannya untuk mengelaknya berlaku dalam keadaan melampau.
Lantaran itulah, walaupun berada dalam apa juga keadaan hidup yang akhirnya menuntut diri seseorang secara spontan berada dalam keadaan yang sesuai dengan apa yang dialami dan dirasai, Islam menyediakan pilihan lain yang boleh diguna pakai bagi mengelak daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan
bertindak balas dengan apa yang dialami.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati."
(Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi).
Jika dihayati maksud hadis ini, sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara untuk menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Hal ini kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.
Hati adalah ejen penggerak utama sahsiah dan keperibadian seseorang. Justeru, jika hati sudah tidak lagi berfungsi dalam erti kata menjadi petunjuk dan pemandu arah manusia untuk meneruskan kembara hidup ini, maka sudah tentu tidak ada sedikit pun manfaat dan ganjaran yang diperoleh kerana pergerakan fizikal tidak lagi berpandukan arahan hati yang murni.
Hati adalah pemerintah dalam diri setiap manusia. Jika baik dan bersih hati seseorang, maka akan baiklah seluruh anggota zahir seseorang dalam melakukan apa juga tindakan dalam hidup seharian. Sebaliknya, jika buruk dan rosak sebuku hati itu, maka akan rosaklah segala anggota asas dan pancaindera manusia apabila melakukan tindakan tertentu dalam hidup ini.
Apabila hati sudah mati, maka akan mudahlah syaitan hakiki dan syaitan nafsu merajai diri dan akhirnya akan membawa diri ke lembah hina dan menyeleweng daripada landasan kebenaran.
Begitu juga, akan terbentuklah kelompok manusia yang alpa dengan fungsi dan tanggungjawab asal manusia sebagai khalifah di bumi Allah. Sesungguhnya, hati berperanan besar menjadi penghubung kepada jiwa dan perasaan manusia untuk mentazkiah (menyucikan) diri melalui bisikan zikir dan doa, yang mana dengan cara itulah, manusia boleh mendekatkan diri dengan yang maha pencipta dan menyemai rasa takut untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan suruhan agama.
Jika hati sudah mati, maka akan runtuhlah keperibadian manusia secara keseluruhannya. Hal ini kerana, pada ketika itu, keunggulan ciri-ciri manusia sejati yang lahir dengan kedudukan dan tanggungjawab di alam fana ini akan terabai.
bersambung..... bahagian 2
Thursday, September 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment