Tuesday, October 7, 2008

Rentak Chelsea kembali serasi

LONDON - Pengurus Chelsea, Luiz Felipe Scolari percaya rentak The Blues kini semakin bertambah baik selepas menyaksikan anak buahnya menewaskan Aston Villa 2-0 dalam aksi Liga Perdana England kelmarin.

Dua jaringan masing-masing menerusi pemain sayap England, Joe Cole dan Nicolas Anelka berjaya mengukuhkan kedudukan The Blues di tangga teratas liga mengatasi Liverpool dengan kelebihan jaringan.

Kini menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2010 minggu depan, Scolari menegaskan bahawa ia adalah satu peluang bagi pemainnya untuk berehat dan mengembalikan semula tenaga mereka.

"Apabila kempen liga disambung kami harap beberapa pemain dapat pulih semula dan bersedia menghadapi cabaran dalam semua kempen. Bagi saya ini adalah perlawanan terpenting kami musim ini," kata Scolari.

"Jika kami menang, kami sedar kami terus menghuni tangga teratas liga dan akan kekal sehingga cuti tugasan antarabangsa.

"Dalam sepuluh hari itu kami kehilangan beberapa pemain atas tugasan antarabangsa tapi pemain yang cedera mempunyai masa untuk pulih."

Joe Cole mengalami kecederaan kaki dan akan terlepas kempen kelayakan skuad England menentang Kazakhstan dan Belarus.

Bagaimanapun The Blues pastinya berharap Deco dan Alex kembali pulih sepenuhnya sebelum pertemuan liga dengan Middlesbrough sementara Ricardo Carvalho dan Didier Drogba pula akan pulih kemudiannya. -

No comments: