Wednesday, October 22, 2008

Menang lebih utama: Kalou

LONDON: Luiz Felipe Scolari mahu pemainnya melupakan seketika untuk menyajikan persembahan lima bintang apabila Chelsea berdepan kelab yang dihimpit masalah, AS Roma dari Itali dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, hari ini (awal pagi Khamis waktu Malaysia).

Skuad Scolari menjelmakan persembahan terbaik musim ini, Sabtu lalu apabila membelasah Middlesbrough 5-0 yang menampilkan corak serta semangat baru di Stamford Bridge.

Hanya empat bulan selepas mengambil alih pasukan The Blues itu, Scolari mengendalikan perubahan menakjubkan dalam persepsi awam mengenai Chelsea.

Minat Scolari terhadap corak bola sepak menyerang berjaya memenangi hati pengkritik yang ketika pengurusan Jose Mourinho dan Avram Grant, melabelkan Chelsea sebagai 'mesin membosankan' yang berjuang untuk mencapai kejayaan.

Jika The Blues sebelum ini akan bertahan selepas menjaringkan pendahuluan, mereka kini lebih banyak mengasak untuk menambah jaringan.

Tetapi penyerang Ivory Coast, Salomon Kalou yang menjaringkan dua gol di Middlesbrough berkata, Scolari sudah menegaskan bahawa meraih mata lebih penting daripada mendapat kawan baru.

"Fokusnya ialah untuk menang, lebih banyak kami menang lebih cepat kami mencapai matlamat untuk menamatkan saingan di tempat pertama," kata Kalou. "Kami boleh menang setiap perlawanan dan perlu berusaha ke arah itu.

"Paling penting ialah di akhir perlawanan, kami menang. Setiap perlawanan adalah sukar tetapi kami perlu berjuang sehingga akhir dan cuba untuk memfokuskan ke atas diri kami.

"Ia memberi kami keyakinan bahawa kami boleh membawa sesuatu kepada pasukan, kami begitu fokus kepada perkara itu dan matlamatnya ialah memenangi perlawanan dan menjaringkan gol.

"Setiap perlawanan kami hadapi dengan semangat yang sama."

Dengan skuad Chelsea dibelenggu masalah kecederaan beberapa pemain tonggak termasuk Didier Drogba, Michael Essien, Ashley Cole dan Ricardo Carvalho, ia adalah satu petanda kesan yang dibawa Scolari sehingga Chelsea memiliki barisan lebih mantap berbanding beberapa minggu sebelum ini. � AFP

No comments: