LONDON – Luiz Felipe Scolari berharap John Terry dapat mengharungi kesakitan belakangnya apabila mewakili England dalam pusingan kelayakan bola sepak Piala Dunia 2010 pada Ahad ini.
Ketua pasukan England itu turun bermain ketika kelabnya, Chelsea menang 2-0 ke atas Aston Villa biarpun terasa kesakitan itu sejak seri dengan CFR Cluj dalam Liga Juara-Juara, minggu lalu.
Dia yang melengkapkan aksi 90 minit di Stamford Bridge akan menemui pegawai perubatan skuad England sebelum menyertai pasukan Fabio Capello.
Pun begitu, Scolari pasti bek tengah itu bakal diturunkan dalam perlawanan dengan Kazakhstan dan Belarus selepas ini.
Rakan sepasukan, Joe Cole bagaimanapun terlepas peluang selepas cedera tapak kaki.
Peluang Nicolas Anelka juga diragui sama ada boleh mewakili Perancis dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2010 menentang Romania selepas penyerang itu dikeluarkan pada separuh masa kerana kecederaan kaki.
“Saya juga fikir John akan cergas selepas berehat dua atau tiga hari. Dia akan menemui doktor di luar negara dan akan mengetahui keputusannya. Saya pasti dia akan bermain.
“Joe Cole ada sedikit masalah tetapi saya berpendapat dia akan sihat selepas berehat dua atau tiga hari. Bagi Anelka, saya tidak tahu. Sama ada dia akan bersedia bagi perlawanan berikutnya, masih sukar disahkan,” kata Scolari.
Deco, Michael Essien, Ricardo Carvalho, Alex dan Didier Drogba turut menjalani rawatan tetapi Scolari berharap pelepasan antarabangsa daripada aksi tempatan ini wajar memberikan sedikit masa untuk pulih bagi pemain berkenaan.
Cole dan Anelka menjaringkan gol untuk memastikan Chelsea kekal menerajui Liga Perdana tetapi hanya satu perkara yang difikirkan Scolari ketika ini.
“Ia perlawanan terpenting musim ini bagi saya kerana kami menang dan kini kami ada lebih banyak hari untuk memulihkan pemain kami. Kebanyakan mereka akan menyertai pasukan negara tetapi ada yang tercedera mempunyai masa untuk pulih dengan kami.
“Dalam 10 hingga 15 hari, kami berharap kebanyakan pemain berada dalam keadaan yang bagus,” ujarnya.
Chelsea ternyata menguasai pertemuan yang berlangsung di barat London itu dan bakal menang lebih besar jika bukan kerana persembahan terpuji penjaga gol Aston Villa, Brad Friedel.
Villa mengidam memasuki empat teratas musim ini dan bertarung dengan kelab elit di negara ini, namun perlawanan itu membuktikan satu jurang yang besar antara anak buah Martin O’Neill dengan empat pendahulu mereka.
O’Neill menyedari pasukannya masih perlu melalui jalan yang panjang tetapi yakin dengan masa depan kelab itu.
“Chelsea bijak dan kami memerlukan setiap pasukan teratas untuk bersaing. Ia satu pengajaran yang keras tetapi di sinilah apa yang kami idamkan. Empat pasukan teratas begitu bijak ketika ini dan berpengalaman Liga Juara-Juara.
“Jurangnya mungkin besar tetapi ada peluang untuk merapatkannya. Saya tidak tahu sama ada kami akan menentang bakal juara Liga Perdana tetapi mereka ternyata cemerlang,” katanya
Tuesday, October 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment