MIDDLESBROUGH, England - Luiz Felipe Scolari bertegas masih terlalu awal meramalkan Chelsea sebagai pasukan pilihan menjuarai Liga Perdana.
Pasukan Scolari yang belum kalah di tangga teratas liga menjadi percaturan ramai untuk meraih gelaran liga selepas membenam Middlesbrough 5-0 dalam saingan liga, kelmarin.
Bagaimanapun, jurulatih dari Brazil itu menafikan ramalan tersebut dengan mengatakan saingan liga masih terlalu awal untuk diputuskan.
''Kami bukan pilihan. Masih banyak perlawanan yang menunggu,'' kata Scolari.
Chelsea tidak pernah tewas setakat ini dan Scolari sendiri hanya akan mengakui peluang merangkul kejuaraan liga sekiranya pasukan itu berjaya mengekalkan kedudukan sekarang hingga Mei depan.
''Jika kita enam mata di depan selepas 35 atau 36 perlawanan, ya, saya akan mengatakan kita pasukan pilihan. Namun, sebelum itu, kita perlu beraksi sebaik mungkin. Hakikatnya perjalanan kita masih jauh,'' ujar Scolari.
Chelsea meraih kemenangan, kelmarin walaupun tanpa kelibat beberapa bintangnya utamanya.
''Saya tidak memikirkan tentang Manchester United, Arsenal atau Liverpool. Saya hanya memikirkan tentang pasukan sendiri (Chelsea).
''Saya tidak kisah tentang persembahan mereka kerana tugas saya ialah membimbing Chelsea. Saya tidak fikir keputusan kelmarin menarik perhatian mereka kerana apa yang penting pemain yang dibawa masuk ke sini mampu memikul tanggungjawab apabila diperlukan.
''Lagipun mereka hebat dan berpengalaman dalam banyak kejohanan, malah mereka juga membuktikan kepada saya bahawa mereka layak dalam kesebelasan utama. Itulah yang saya mahukan semangat berpasukan,'' jelasnya.
Dua gol daripada Salomon Kalou dan masing-masing satu daripada Juliano Belletti, Frank Lampard dan Florent Malouda sudah cukup memeritkan Middlesbrough walaupun tujuh pemain utama The Blues tidak beraksi.
''Jika kita menang 1-0 sekalipun dalam semua perlawanan selepas ini, saya pasti kita akan menjadi juara,'' ujar Scolari.
Dalam pada itu, Chelsea mendapat khabar gembira mengenai Didier Drogba yang dikatakan akan pulih lebih awal daripada jangkaan.
Setakat ini Drogba masih belum pasti dapat diturunkan menjelang pertemuan Liga Juara-Juara menentang AS Roma dan Liverpool dalam saingan liga pada Ahad ini.
''Saya yakin akan mendapat semula sentuhan Drogba dalam tempoh seminggu lagi dan saya berharap dia akan pulih untuk diturunkan menentang Liverpool,'' kata Scolari.
Tuesday, October 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment