Wednesday, October 22, 2008

Kena menang dulu, gembira kemudian - Scolari

LONDON - Luiz Felipe Scolari memberi ingatan pemain bintang Chelsea supaya melupakan hasrat untuk mempamerkan persembahan lima bintang apabila mereka berdepan pasukan yang sedang bergelut Roma esok pada persaingan Liga Juara-Juara Eropah.

Pasukan bimbingan Scolari mempamerkan persembahan mantap musim ini Sabtu lalu selepas mereka membelasah Middlesbrough 5-0 seterusnya menaikkan semangat di Stamford Bridge.

Selepas empat bulan menggalas tugas melatih The Blues, Scolari telah melihat perubahan yang ketara tentang tanggapan masyarakat terhadap Chelsea.

Selepas Blues menyelesaikan tugas mereka mendahului liga, mereka sekarang cuba untuk mencari seberapa banyak gol.

Tetapi penyerang Ivory Coast, Salomon Kalou yang menjaringkan dua gol di Middlesbrough berkata, Scolari telah menunjukkan dengan jelas memungut mata kemenangan adalah lebih penting.

''Fokus utama ialah untuk menang, lebih banyak kemenangan dicatat, membawa kami semakin menghampiri matlamat untuk memperoleh tempat pertama. Kami boleh menang semua perlawanan dan kami perlu memburunya serta menunjukkan kami mahukan kemenangan.

''Perkara yang paling penting selepas tamat perlawanan ialah menang. Setiap perlawanan sudah semestinya sukar, tetapi kami perlu memberi saingan sehingga tamat perlawanan dan cuba memberi fokus kepada diri sendiri.

''Ia memberi keyakinan bahawa kami boleh menyumbang sesuatu kepada pasukan, kami memang sentiasa fokus mengenainya dan sasaran kami ialah memenangi perlawanan serta menjaringkan gol, setiap perlawanan yang kami lalui disertai dengan semangat yang sama,'' kata Kalou dalam laman web rasmi Chelsea.

Chelsea yang dilanda masalah kecederaan dengan kehilangan pemain utama seperti Didier Drogba, Michael Essien, Ashley Cole dan Ricardo Carvalho, memberi kesan kepada Scolari tentang kesukaran yang terpaksa ditempuhi Chelsea pada setiap minggu.

Mereka berada di persada Liga Perdana England dan kemenangan ke atas Roma di Bridge akan meletakkan naib juara musim lalu berada selesa ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah.

Scolari akan mendapat semula khidmat penjaga golnya Petr Cech yang kembali dari kecederaan paha yang menyaksikannya tidak diturunkan ketika menang Sabtu lalu.

No comments: