Friday, October 24, 2008

Chelsea bernasib baik lepasi ujian paling getir

LONDON - Kapten Chelsea, John Terry menganggap pasukannya berjaya mengharungi ujian paling getir selepas menewaskan gergasi Itali, AS Roma 1-0 pada aksi Liga Juara-Juara kelmarin.

Terry menjaringkan gol tunggal perlawanan 12 minit sebelum tamat permainan dalam aksi sengit di Stamford Bridge.

"Mereka memberi kesukaran kepada kami sepanjang permainan, tapi nasib baik kami memperoleh gol dan mengutip tiga mata penuh," jelas kapten England itu.

"Roma sebuah pasukan yang bagus, mereka memiliki beberapa pemain hebat dan berjaya memberi tentangan kepada kami.

"Mereka bekerja dengan keras sepanjang permainan dan mungkin mereka layak mendapat satu mata tapi bagaimanapun kami bersyukur kerana berjaya mengutip tiga mata.

"Saya rasa pada babak pertama kami agak kecewa kerana terlalu berharap mendapatkan gol. Kami kena lebih bersabar dan menanti satu peluang kerana lambat laun ia akan datang juga."

Mengenai jaringan kemenangannya, Terry menambah: "Saya fikir ia adalah gol pertama saya di Stamford Bridge sejak beberapa tahun ini, jadi saya gembira dapat melakukannya."

Dengan kemenangan itu, Chelsea kini selesa selaku pendahulu Kumpulan A dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan, iaitu empat mata di hadapan pasukan tangga kedua, CFR Cluj.