Wednesday, August 27, 2008

Kesan Pendudukan Jepun di Indo-China

Kesan Pendudukan Jepun di Indo-China

Pendudukan Jepun di Indo-China telah memberikan pelbagai implikasi yang positif dan negatif. Semasa pendudukan Jepun ini, kesan yang begitu mendalam yang dapat dilihat adalah dari segi perubahan politik, sosial dan semangat nasionalisme yang terhasil akibat daripada kesan pendudukan Jepun di Indo-China.

Pendudukan Jepun di Indo-China telah menyebabkan Gabenor-Jeneral Perancis, Laksamana Decoux memberikan segala sumber Indo-China kepada Jepun. Implikasi daripada pendudukan Jepun ke atas perubahan politik dan sosial pada awalnya, dapat dilihat bagaimana raja-raja Annam, Kemboja dan Luang Prabang telah diberi martabat yang lebih tinggi dan berkuasa. Selain itu, perubahan-perubahan sosial iaitu kerja-kerja raya seperti sekolah-sekolah baru di bina dan rakyat Indo-China dilantik sebagai pegawai di dalam perkhidmatan kerajaan. Ini dapat dibuktikan pada 1943, sebuah Majlis Besar/Agung Perancis-Vietnam ditubuhkan dengan 30 anggota berbangsa Vietnam dan 23 daripada Perancis. Di samping itu, ketika di ambang kekalahan Jepun, pihak Jepun telah mengadakan satu coup de tat pada 10hb Mac 1945 untuk mengambil alih Indo-China daripada Perancis dan membuat kenyataan bahawa penjajahan telah tamat dan raja-raja Laos, Kemboja dan Annam telah mengisytiharkan kemerdekaan bagi negara mereka.

Selain itu, kesan pendudukan Jepun di Indo-China juga telah mencetuskan semangat nasionalisme bagi menuntut kemerdekaan.. Di Vietnam, Liga Kemerdekaan Vietnam (Viet Minh) di bawah pimpinan Ho Chi Minh, telah ditubuhkan pada 1941 bagi membangkitkan semangat kebangsaan dan memborontak ke atas Jepun dengan bantuan negeri China. Amerika dan Britain yang membekalkan senjata kepada Viet Minh untuk memperhebatkan penentangan terhadap Jepun. Kesan penubuhan Viet Minh ini telah membawa kemerdekaan kepada Vietnam daripada Perancis selepas era Jepun di Indo-China.

Di Kemboja dan Laos pula, kesan pendudukan Jepun telah melahirkan semangat nasionalisme di kedua negara ini adalah selepas berakhirnya pendudukan Jepun apabila Son Ngo Tanh seorang Nasionalis Kemboja telah ditangkap dan pengikutnya iaitu Khmer Issara (Penduduk Kemboja Bebas) telah bekerjasama dengan Viet Minh untuk memberontak dan membebaskan Kemboja daripada Perancis. Di Laos pula, Laos Bebas (Lao Issara) telah mengambil alih daripada pendudukan Jepun dan telah mencetuskan semangat nasionalisme iaitu untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang bebas di bawah raja dari Luang Prabang dan dari Laos Bebas inilah terasasnya Gerakan Nasional Laos (Pathet Lao) yang bekerjasama dengan Viet Minh untuk menghapuskan sebarang kaitan Perancis dengan Laos. Selain itu, kesan pendudukan Jepun di Indo-China yang negatif juga berlaku apabila banyak kes kematian akibat kebuluran, penyakit dan sebagainya

Kesimpulannya, secara langsung atau tidak, pendudukan Jepun telah menyemarakkan semangat nasionalisme di Indo-China. Kejayaan Jepun mengusir kuasa-kuasa besar Barat telah mewujudkan semangat nasionalisme dan menimbulkan kesedaran baru di kalangan rakyat Asia di mana mereka mampu memerintah negara mereka sendiri.

Bibliografi

D.G.E Hall. (1987). Sejarah Asia Tenggara. Selangor : Dewan Bahasa & Pustaka.

Joginder Singh Jessy (1986). Sejarah Asia Tenggara (1824-1965). Kedah : Penerbitan
Darul Aman

Abdullah Zakaria Ghazali et.al (2000). Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia
Timur 1800-1963. Selangor : Penerbit Fajar Bakti.

http://www.geocities.com/cominglucky/asia13.htm
http://www.geocities.com/cominglucky/politik.htm
http://www.paul02583.multiply.com/journal/item/4

1 comment:

Anonymous said...

saya suker baca citer tentang sejarah..kalau boleh tulis la lagi..